Tuesday, September 15, 2009

Soro Kung


Bunyi kung pula terhasil apabila belira dipalu di bahagian tengahnya seperti yang ditunjukkan didalam gambar di bawah. Bahagian tersebut dipalu dengan menggunakan getah mmalu.

Teknik paluan kung

  • Memalu di bahagian tengan belira dengan menggunakan getah mmalu.
  • Pastikan mmalu diangkat sebaik sahaja membuat paluan.
  • Ada dua jenis paluan kung iaitu paluan kung ketika bersimbung (paluan permulaan) dan paluan kung dalam memainkan lagu.



Teknik mendapatkan paluan kung ketika bersimbung


  • Bersedia dalam keadaan chokoh.
  • Memegang mmalu di bahagian hujung dengan erat.
  • Menghasilkan paluan dengan getah mmalu.
  • Mmalu diangkat hingga ke aras kepala.
  • Membuat paluan dengan kuat di bahagian tengan belira dengan menggunakan kekuatan bahu.
  • Pastikan mmalu diangkat sebaik sahaja membuat paluan.


Teknik mendapatkan paluan kung ketika memainkan lagu


  • Bersedia dalam keadaan chokoh.
  • Memegang mmalu di bahagian tengah dengan erat.
  • Menghasilkan paluan dengan getah mmalu.
  • Mmalu diangkat hingga ke aras bahu.
  • Membuat paluan dengan sederhana di bahagian tengan belira dengan menggunakan kekuatan pergelangan tangan.
  • Pastikan mmalu diangkat sebaik sahaja membuat paluan.

Soro Cak





Cak ialah nada aras tinggi yang terhasil apabila bahagian tepi belira seperti dalam gambar di bawah yang dipalu dengan menggunakan kepala mmalu ataupun ulu pangkal mmalu.



Teknik Paluan Cak

Gambar di bawah menunjukkan bahagian kepala mmalu yang digunakan untuk mengetuk bahagian tepi belira untuk menghasilkan bunyi cak. Bunyi cak terhasil apabila belira dipalu menggunakan kepala mmalu seperti yang digambarkan di bawah.




Gambar menunjukkan teknik paluan untuk menghasilkan bunyi cak dengan menggunakan kedua-dua ulu pangkal mmalu.



Bunyi cak juga terhasil apabila belira dipalu menggunakan pangkal dan kepala mmalu seperti gambar di bawah.


Setelah paluan dibuat, biarkan seketika permukaan kepala atau pangkal mmalu menyentuh permukaan tepi belira. Paluan menghasilkan bunyi cak yang bersifat pendek (tidak bergema) tetapi tajam.

Soro (Nada/Bunyi) Kertok


Soro atau air soro kertok ialah bunyi yang dihasilkan apabila belira di palu dengan menggunakan mmalu. Mengikut istilah muzikologi soro kertok bolehlah disama ertikan dengan suara ton kertok. Terdapat pelbagai soro yang dikeluarkan oleh kertok. Namun begitu untuk ‘Pengajaran Elemen Irama Melalui Permainan Kertok’ hanya dua nada asas sahaja yang perlu diketahui iaitu ‘cak’ dan ‘kung’



Monday, September 14, 2009

BAHAGIAN-BAHAGIAN KERTOK


Kertok terbahagi kepada beberapa bahagian yang penting seperti bodi (badan kertok), lekar
(pelapik), belira (daun atau bilah), mochok, getah pengikat, dan mmalu (alat pukulan).


Bodi (badan kertok atau ibu kertok)

Bodi (badan kertok) kelapa diperbuat daripada kelapa dan bodi kertok kaya diperbuat daripada kayu seperti kayu nangka, pulai, sentol, sena, merbau dan cengal. Jenis kayu memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan ton yang baik.

Lekar (pelapik)


Lekar adalah bahagian bawah yang menyokong untuk menstabilkan kedudukan bodi kertok. Lekar ini juga berperanan untuk menyerap bunyi, dan sekaligus mempengaruhi ton bunyi kertok apabila dimainkan. Biasanya lekar diperbuat daripada tayar kereta sorong dan dibalut dengan kain atau guni jut yang warnanya mengikut citarasa pembuatnya.

Belira (daun atau bilah)


Belira adalah bahagian yang penting dalam sesebuah kertok. Ia biasanya diperbuat daripada kayu chengal kerana ia dapat menghasilkan ton yang baik dan kayunya mempunyai kualiti yang tinggi (tidak mudah rosak apabila dipalu). Untuk ketahanan, belira disipal (besi dipaku pada tepi belira) supaya ianya tidak mudah pecah apabila dipalu dalam jangka masa yang lama.


Mocok (pancang) dan getah



Mocok berperanan untuk menetapkan kedudukan belira pada ibu kertok. Pada zaman dahulu ianya diperbuat daripada rotan dan kini mocok dibuat dengan menggunakan wayar.



Gambar di atas menunjukkan peranan mocok untuk menetapkan kedudukan belira pada ibu kertok.


Kedudukan belira pada ibu kertok dikuatkan lagi dengan mengikat getah untuk menghalang belira daripada tertanggal apabila di palu dengan kuat. Gambar di bawah menunjukkan kedudukan belira yang diikat dengan menggunakan getah. Getah ini diambil daripada tiub basikal atau motosikal.



Mmalu (alat paluan)


Mmalu ada empat bahagian iaitu kepala, getah, ulu (pemegang) dan pangkal seperti dalam gambar. Sesetengah mmalu ada dua bahagian iaitu getah mmalu dan ulu mmalu. Pada zaman dahulu getah mmalu diperbuat daripada ‘getah skrap’ dan kini getah itu digantikan dengan tiub motosikal atau basikal yang gunting halus kemudian dililitkan pada kayu dan dicelup ke dalam gam untuk memastikan ianya melekat dengan kuat. Akhir sekali barulah dibalut dengan tali nelon untuk membentuk lilitan yang bulat pada pemukul. Semua bahagian mmalu ada peranannya yang tersendiri dalam menghasilkan bunyi semasa permainan kertok.


Monday, September 7, 2009

PENGENALAN


Kertok adalah sejenis alat muzik yang diperbuat daripada kayu nangka, pulai, sentol, sena, merbau dan cengal. Di tengah-tengah kayu ditebuk lubang untuk mengeluarkan bunyi atau peti bunyi apabila di pukul pada kayu yang diletakkan di atas lubung tadi. Kertok, sekali pandang bentuknya sama seperti lesung menumbuk padi tetapi telah diubah suai menjadi suatu alat muzik yang boleh mengeluarkan bunyi yang menarik. Kertok yang lengkap mempunyai empat bahagian utama iaitu belira, bodi (badan kertok atau ibu kertok), mmalu (pemalu) dan lekar (pelapik). Belira adalah papan sekeping yang melintang permukaan bodi kertok.

Kertok adalah di dalam ketegorikan alat muzik idiophone iaitu alat muzik yang diketuk untuk menghasilkan bunyi (Mohamed Ghouse Nasuruddin, 2003). Asasnya kertok kayu mempunyai dua ton bunyi iaitu bunyi cak dan kung. Bunyi cak terhasil apabila belira dipalu menggunakan pangkal mmalu. untuk menghasilkan nada yang tinggi. Bunyi kung pula untuk nada yang lebih rendah, ianya terhasil apabila belira dipalu menggunakan getah mmalu.

Set lengkap ensemble muzik ini mempunyai 6 buah kertok dan pemuziknya seramai 12 orang pemain iaitu dua orang bagi satu kertok. Dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional, kertok biasanya dimainkan untuk tujuan berikut :

· Sebagai hiburan selepas musim menuai dan alat bunyi-bunyian untuk memeriahkan suasana majlis keraian.
· Kertok juga digunakan dalam pertandingan yang disertai penduduk kampung terutama selepas musim menuai padi. Lazimnya, pertandingan tersebut diadakan pada waktu malam.
· Digunakan oleh golongan tertentu untuk memanggil penduduk kampung atau orang ramai supaya berkumpul sebelum menyampaikan sesuatu berita atau pengumuman penting.

Kertok pada masa kini bukan lagi sekadar dimainkan di kampung-kampung malah dimainkan di dalam upacara-upacara rasmi seperti majlis perkahwinan, memyambut orang kenamaan dan perayaan-perayaan rasmi. Bagi menambahkan tarikan dan keasyikan, adakalanya kertok dihiasi indah dan paluannya bertingkah (khoceh) yang dianggap paling merdu.