Monday, October 12, 2009

BUKU AKAN DITERBITKAN...! Pengajaran Elemen Irama Melalui Permainan Kertok


Mata pelajaran Pendidikan Muzik KBSM telah mula diperkenalkan di peringkat sekolah menengah sebagai Projek Rintis pada tahun 1996 selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara untuk memberikan satu bentuk pendidikan yang menyeluruh dan seimbang.

Mulai tahun 2001, mata pelajaran ini telah memperoleh status mata pelajaran pilihan wajib di peringkat sekolah menengah rendah. Manakala di peringkat sekolah menengah atas, ianya ditawarkan sebagai mata pelajaran elektif. Sementara itu, dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Kertas Pendidikan Muzik ditawarkan sebagai salah satu pilihan elektif dalam kumpulan mata pelajaran Kemanusiaan.

Berkaitan dengan itu, penghasilan buku Pengajaran Elemen Irama Melalui Permainan Kertok ini adalah hasil daripada Projek Akhir (Mod A) Sarjana Pendidikan (Muzik) di bawah seliaan Prof. Madya Zaharul Lailiddin bin Hj. Saidon dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Adalah diharapkan buku ini akan dapat memberi sumbangan yang amat bermakna kepada pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Muzik khususnya di sekolah menengah.

Buku Pengajaran Elemen Irama Melalui Permainan Kertok ini ditulis khusus untuk guru Pendidikan Muzik Tingkatan Satu KBSM. Kandungannya selaras dengan kehendak sukatan pelajaran Pendidikan Muzik dalam aspek persepsi estetik, pengetahuan muzikal, ekspresi kreatif dan penghargaan estetik.

Buku ini memuatkan secara umum sejarah negeri Kelantan. Pelbagai aspek berkaitan permainan kertok seperti bahagian-bahagian utama kertok, etika persembahan, soro ataupun nada kertok dan akhir sekali ialah teknik dan postur permainan kertok. Beberapa bab terakhir dalam buku ini juga telah sertakan pelbagai latihan-latihan pembelajaran irama melalui permainan kertok dalam pelbagai meter.

Semoga bahan dalam buku ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak, terutama guru muzik, guru pelatih di institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah demi meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Muzik tanahair.


AKAN DITERBITKAN...
BERMINAT?
Nantikan Kemunculannya!
Hubungi 019-9788961(saufi)
atau e-mail

Tuesday, October 6, 2009

Penutup

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai warisan seni. Namun begitu, khazanah negara yang tidak ternilai itu sekian lama semakin hilang dan semakin kurang mendapat perhatian daripada masyarakat:

“ketika ini hampir semua pemain muzik tradisional adalah orang yang lewat umur. Tidak terdapat barisan pelapis dikalangan anak-anak muda kerana kebanyakkan muda-mudi lebih tertarik dengan muzik barat yang jauh popular daripada muzik tradisional. Keadaan ini berlaku kerana pengaruh muzik barat telah menyerap ke dalam cara hidup masyarakat Malaysia akibat daripada pengaruh elektronik dan media cetak serta peranan saluran pendidikan yang menggalakkan pengajaran muzik barat”.
(Mohamed Ghouse Nasaruddin, 1989)


Sekiranya permasalahan ini kian berlanjutan adalah dikhuatiri generasi yang akan datang sudah tidak berpeluang untuk mengenali mahupun menghargai warisan seni negara. Untuk mengatasi masalah ini, golongan pendidik terutamanya guru-guru muzik perlu mendalami permainan ini. Setelah itu, guru hendaklah mengetengahkan permainan ini kepada pelajar-pelajar sekolah dengan memperkenalkan dan mempraktikkan permainan ini di sekolah masing-masing.